Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong Melaka

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong atau nama ringkasnya SMK Seri Tanjong, merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Tanjung Kling Pos.

Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong memiliki 1001 pelajar lelaki dan 983 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1984 orang. Ia mempunyai seramai 126 orang guru.

Sejarah Sekolah

Pada tahun 1968, AJK UMNO, Tuan Haji Jaafar bin Alang dan Tuan Haji Mohd.Amin bin Saat mengemukakan idea mewujudkan sebuah sekolah menengah di kawasan Tanjong Kling kepada wakil rakyat kawasan Tanjong. Sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Tanjong Kling yang menempatkan murid-murid dari kawasan Sungai Udang hingga ke Klebang. Pelajar-pelajar perintis telah menumpang di Sekolah Kebangsaan Lereh sementara menunggu bangunan siap dibina.

Pada tahun 1970, Sekolah Menengah Tanjong Kling telah siap dibina di Kampung Ghafar Baba. Semua pelajar yang menumpang di Sekolah Kebangsaan Lereh telah berpindah ke sini. Pada awal penubuhannya, sekolah ini mempunyai 10 orang guru dan 308 orang murid. Terdapat 8 buah kelas, 4 buah kelas tingkatan 1 dan 4 buah kelas tingkatan 2. Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah yang mempunyai bilangan murid yang paling ramai di Melaka.

Pada tahun 1979, Sekolah ini telah ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Seri Tanjong. Gred sekolah ini juga telah dinaikkan ke gred A. Sebuah bangunan yang mempunyai 7 buah kelas dan sebuah bilik perpustakaan dibina bagi menampung pertambahan murid.

Pada tahun 1991, SMK Seri Tanjong dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim bin Dato’ Tamby Chik.

Pencapaian Sekolah Seri Tanjong Melaka

Pada tahun 2002, 21 orang pelajar PMR mendapat 8A.

Pada tahun 2007, seramai 12 orang murid mendapat 8A dalam PMR.

Pada tahun 2010, seramai 23 orang murid mendapat 8A dalam PMR. SMK Seri Tanjong menjadi Tuan Rumah Pertandingan Memasak Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Melaka pada 10 Julai 2010. Pada tahun yang sama, SMK Seri Tanjong menjadi Tuan Rumah Pertandingan Koir Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Melaka pada 11 November 2010.