Sejarah Si Kitol Melaka & Raja Mendeliar
‘SI KITOL’ merupakan seorang pembelot dan merupakan punca kepada kehancuran Kesultanan Melayu Melaka. Dia jugalah menabur fitnah dan memecah belahkan orang Melayu.
Dalam buku Sejarah Melayu ada mengisahkan tentang seorang watak bernama Si Kitol. Kisahnya bermula dengan Si Kitol berhutang dengan Raja Mendaliar tetapi dia sukar untuk membayar hutangnya.
Raja Mendaliar pula merupakan seorang yang amat kaya dan sangat dikenali di Melaka ketika itu. Raja Mendaliar mendapat perkhabaran bahawa kekayaannya kurang sebahara emas daripada kekayaan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir.
Isi Kandungan (KLIK):
Sejarah Si Kitol dan Raja Mendeliar
BACA SINI: Sejarah melaka yang sebenar

Pada suatu hari berlaku salah faham antara Raja Mendeliar dengan seorang saudagar kaya di Melaka ketika itu bernama Nina Sura Dewana. Mereka berdua berjumpa dengan Bendahara Seri Maharaja untuk menyelesaikan perbalahan antara mereka. Pada ketika itu, hari telah lewat petang dan Bendahara Seri Maharaja menyuruh mereka untuk datang pada keesokan hari.
Si Kitul mendapat tahu adanya pertemuan antara Bendahara Seri Maharaja dengan Nina Sura Dewana secara sulit, lalu dia terus memberitahu kepada Raja Mendeliar bahawa Bendahara Seri Maharaja telah menyebelahi Nina Sura Dewana dalam perbalahannya dengan Raja Mendeliar. Perkara yang dikhabarkan Si Kitol kepada Raja Mendeliar tersebut adalah salah dan fitnah.
Raja Mendeliar merasa kedudukannya sedang terancam dengan perkhabaran yang diterimanya itu. Lalu Raja Mendeliar pun mengoyak-ngoyak surat hutang Si Kitol dan memberitahu bahawa hutangnya sebanyak sekati emas itu beliau halalkan dunia akhirat.
Laksamana Khoja Hassan Hilang Pertimbangan
Setelah itu, Raja Mendeliar pula telah membuat tindakan susulan. Beliau telah mengambil sejumlah hartanya lalu pergi pula ke rumah Laksamana Khoja Hassan. Raja Mendeliar memberitahu Laksamana Khoja Hassan bahawa Bendahara Seri Maharaja sedang merancang untuk menjadi raja di Melaka.
Katanya lagi, Bendahara Seri Maharaja juga telah pun menempah beberapa alat kebesaran daripada emas. Melihatkan harta yang banyak itu, Laksamana Khoja Hassan tidak dapat berfikir panjang lagi. Pertimbangannya sudah hilang dan kewarasan akalnya sudah lenyap.
Akhirnya berlakulah peristiwa yang paling tragis dalam sejarah Melaka di mana Bendahara Seri Maharaja, saudara lelakinya Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung (anak Bendahara Seri Maharaja) dan Tun Ali suami kepada Tun Fatimah dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mahmud tanpa usul periksa lagi.
Pembelot Kerajaan Melayu Melaka
Peristiwa ini bukan sahaja merupakan sejarah hitam dalam sejarah Melaka, tetapi ianya turut memberi kesan kepada kesinambungan kesultanan Melaka itu sendiri. Hal ini hanya disebabkan fitnah dan buah mulut orang yang tidak mempunyai nilai moral seperti Si Kitol. Si Kitol hanya ingin melepaskan dirinya sahaja dan memecah belahkan orang.