Pelabuhan Melaka: Keistimewaan & Kepentingan Pusat Perdagangan
NAMA Kesultanan Melayu Melaka cukup terkenal pada suatu ketika dahulu dan muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa pada pertengahan abad ke-15.
Hal ini dapat dibuktikan dalam teks ‘Sulalatus Salatin’ dalam pernyataan “Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka: terlalu ramai bandar Melaka pada zaman itu.”
Keistimewaan Pelabuhan Melaka
BACA SINI: Sejarah Pembukaan Melaka Yang Sebenar

Lokasi Melaka di Selat Melaka menjadikannya tempat yang strategik, iaitu terletak di pertengahan laluan perdagangan antara Timur dan Barat. Pelabuhannya juga terlindung daripada tiupan angin monsun Barat Daya dan Timur Laut membolehkan kapal dagang belabuh dengan selamat.
Kerajaan Melaka mempunyai sistem dan pengurusan tersendiri yang tersusun dalam mengendalikan pelabuhannya. Kerajaan Melaka mempunyai sistem pelabuhan perkapalan, sistem cukai, kemudahan prasarana, menjaga keselamatan para pedagang, kaedah-kaedah perniagaan dan mata wang yang digunakan, sistem timbangan dan nilai mata wang,undang-undang dan peranan nakhoda.
Pelabuhan di negeri Melaka berperanan sebagai pusat entrepot yang menjadi tumpuan pedagang dari timur dan barat. Kesibukan di pelabuhan kerajan melayu Melaka dapat dilihat melalui catatan Tome Pires bahawa pelabuhan di negeri Melaka biasanya terdapat lapan puluh empat bahasa yang dituturkan dan setiap pertuturan tersebut adalah berbeza.
Bahasa Melayu Menjadi Lingua Franca
‘Lingua franca’ atau bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan di Melaka adalah Bahasa Melayu. Hal ini kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa utama masyarakat di rantau Asia Tenggara dan digunakan dengan meluas oleh pedagang di pelabuhan Melaka. Bahasa Melayu mudah difahami dan pedagang asing tiada masalah menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan perdagangan.
Fungsi & Kepentingan Pelabuhan Melaka Pada Abad ke-15
Melaka menjalinkan hubungan perdagangan dengan China. China memasarkan barang-barangnya di Melaka seperti bahan-bahan wangian, permata, sutera, satin, balerang, besi, alat memasak, tembikar dan peluru. Manakala barang utama yang dibawa balik ke China ialah lada, gaharu, candu, rempah dan bahan-bahan hutan Nusantara.
Terdapat juga pedagang dari Koromandel yang dianggap terpenting kepada Melaka. Menurut Tom Pires dan Ruy de Brio menganggarkan empat hingga lima buah kapal besar datang ke Melaka dengan setiap tahun dengan nilai dagangan antara 12 ribu hingga 15 ribu cruzados membolehkan Melaka memperoleh keuntungan yang besar.
Pedagang dari Benggala yang terdiri daripada pedagang Arab dan Parsi, Turki dan Absinia, yang membentuk satu syarikat yang besar untuk datang ke Melaka. Antara barang yang dibawa oleh mereka ialah barang-barang makanan, beras, gula, daging kering, kain India dan sayur-sayuran kering. Barangan ini kemudiannya ditukar ke Melaka untuk membeli lada, jagung, cengkih, sutera dari China, tembikar dari Jepun, senjata dari Jawa dan pelbagai barangan lain.
Entreport terpenting bagi Melaka di India ialah Kembayat. Para pedagang dari Timur Tengah mengambil masa 18 bulan dari laut merah untuk sampai ke Melaka.Semasa angin monsun, mereka bertumpu di Kembayat dengan menyediakan senjata, kain bulu, kain sakhlat, barang tembaga, kismis dan pelbagai barangan lain. Manakala di Kembayat pula, pedagang dari Kaherah, Mekah, Aden, Ormuz selain yang datang dari kawasan timur Mediterranean dan pesisiran timur Afrika berkumpul berpuak-puak membentuk syarikat sebelum belayar ke Melaka.
Para pedagang dari pelabuhan Diu, Randir, Surat dan Daman menjadi perantaraan untuk memperdagangkan barang-barang dari pelabuhan Arab seperti Iskandariah, Mekah, Ormuz, Aden dan Jeddah. Mereka kemudiannya membeli berbagai-bagai jenis rempah, jagung dan emas dari Nusantara yang terdapat di Melaka selain membawa balik barangan dari Timur Jauh untuk diperdagangkan ke India, Ke pelabuhan-pelabuhan Arab dan seterusnya ke Eropah.
Selain itu, Pegu (Burma) juga merupakan antara pedagang yang rapat dengan Melaka. Mereka terkenal dari sudut pembinaan kapal. Apabila barang bahan dagangan habis dijual, mereka akan menjual anak-anak kapal kepada saudagar-saudagar di Melaka. Tom Pires menganggarkan sepanjang bulan Februari dan Mac setiap tahun terdapat antara dua puluh hingga tiga puluh buah kapal kecil datang ke Melaka sama ada untuk menjalankan hubungan dagangan ataupun tukaran barang dengan saudagar dari Melaka. Ini menunjukkan bahawa hubungan Pegu dengan Melaka adalah hubungan terus bukan secara perantaraan.
Hubungan Baik Dengan China Elak Diancam Siam
Melaka dan Siam pernah mengalami krisis hubungan yang membimbangkan. Siam pernah mahu menjadikan Melaka sebagai negeri ufti tetapi gagal kerana Melaka mendapat naungan daripada China. Walaupun begitu, atas sebab ekonomi mereka tetap menjalinkan hubungan yang baik dalam aspek perdagangan. Siam menjadi pembekal utama bahan seperti beras, gula, berbagai-bagai jenis rempah dan kayu-kayan ke Melaka.
Perhubungan antarabangsa amat diawasi oleh Melaka. Contohnya, hubungan Melaka dengan pulau-pulau Ryukyu (Jepun) amat baik di antara tahun 1460-an hingga 1480-an. Barangan yang mereka bawa dari Jepun ialah seperti kain, sutera,tembikar, pedang, habuk emas dan perak, kipas, kertas dan sedikit makanan. Di Melaka, bahan ini ditukar dengan rempah, arak dan kain yang didapati dari Benggala.
Kesan Melaka Sebagai Pusat Perdagangan Antarabangsa
Kemunculan Melaka sebagai sebuah pelabuhan kerajaan alam melayu dan pusat perdagangan antarabangsa tidak dapat dinafikan lagi. Melaka pernah berada pada satu tahap yang membanggakan dan dikenali di seluruh dunia.
Hubungan perdagangan yang dijalinkan dengan pelbagai negara dapat dilihat dengan jelas. Terdapat lebih daripada 80 bahasa yang dipertuturkan di pelabuhan Melaka. Walaubagaimanapun, ‘lingua franca’ tetap menjadi bahasa utama di dalam komunikasi.
Soalan Lazim & FAQ
1. Bagaimanakah pengurusan pelabuhan kerajaan melayu melaka yang dilaksanakan oleh kesultanan melayu melaka
Ada dikongsikan di atas ini. Dan inilah antara sebab Melaka dahulu disegani seantero dunia terutamanya aspek perdagangan
2. Siapakah pedagang yang mengunjungi pelabuhan melaka
Pedagang Benggala, India, China,Timur Tengah, egu (Burma) dan banyak lagi. Senarai penuh di atas ini.